Penang Travel Deals
槟城旅游优惠
檳城旅遊優惠
Ưu đãi du lịch Penang
Penawaran Khusus Wisata Penang
ดีลท่องเที่ยวปีนัง
페낭 여행 상품
Tawaran Pelancongan Pulau Pinang
ペナン旅行の詳細
عروض السفر في بينانغ
பினாங்கு செல்வதற்கான பயண டீல்கள்
Pulau Pinang menawarkan pelbagai tarikan ekopelancongan yang memenuhi setiap cita rasa, daripada menggelongsor dalam gelongsor air terpanjang di dunia hingga meneroka keajaiban hutan hujan dara berusia 130 juta tahun yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai Rizab Biosfera Bukit Bendera.
Pulau Pinang bukan sahaja destinasi budaya dan seni tetapi juga mempunyai banyak pantai. Kebanyakan resort pantai biasanya mempunyai pelbagai aktiviti yang boleh disertai, atau anda boleh bersantai di tempat yang tersorok untuk berjemur. Pantai Batu Ferringhi atau Tanjung Bungah dipenuhi dengan resort, hotel dan tempat makan daripada cawangan makanan segera sehingga bar dan restoran. Pantai Miami yang jarang dikunjungi terletak tidak begitu jauh daripada Batu Ferringhi yang sibuk. Pantai di kawasan Teluk Bahang boleh diakses dengan menaiki bot atau dengan berjalan kaki melalui Taman Negara Pulau Pinang. Pantai Mas dan Kerachut ialah lokasi yang tepat untuk berenang dengan santai dan berbaring dengan aman. Di Balik Pulau, cahaya matahari dan bayu laut boleh dinikmati di Pantai Malindo dan Pantai Pasir Panjang sementara Tanjung Asam, Ombak Damai dan Pasir Belanda di perairan barat daya pulau semakin menarik kedatangan pengunjung. Di bahagian Seberang Perai, destinasi pantai seperti Pantai Robina, Pantai Bersih dan Bagan Ajam popular dalam kalangan penduduk tempatan.
Terdapat beberapa pulau lebih kecil di perairan Pulau Pinang dan Seberang Perai. Mungkin anda pernah mendengar tentang pulau yang lebih popular, Pulau Aman, tetapi terdapat banyak lagi pulau yang terletak jauh seperti Pulau Tikus, yang menempatkan rumah api berkuasa suria dan makam suci; Pulau Gedung, yang menyembunyikan bangunan penyimpanan senjata zaman penjajahan; dan Pulau Kendi, pulau tidak berpenghuni dengan keindahan semula jadi yang tidak diganggu. Pulau-pulau ini hanya boleh diakses dengan menaiki bot, yang menambahkan lagi pesona unik pulau.
Pulau Pinang mungkin dikenali dengan seni, warisan dan makanan, namun taman rekreasi dan hutan di sini kurang dikenali ramai. Kawasan hijau boleh ditemui dengan mudah sebaik sahaja pengunjung bergerak keluar dari zon warisan UNESCO. Perkara yang paling menyeronokkan ialah Rizab Biosfera UNESCO yang boleh diakses dengan jarak pemanduan yang singkat. Anda boleh bersantai dan berasa kembali sihat dengan mengembara berjalan kaki atau bersiar-siar di banyak taman rekreasi dan hutan di sini.
Pulau Pinang ialah syurga dunia bagi pengembara berjalan kaki dengan hutan hujan dara yang berusia 130 juta tahun dan landskap yang berceranggah. Antara lokasi pengembaraan berjalan kaki terbaik di negeri ini ialah di denai yang mendaki Bukit Bendera, iaitu denai Moon Gate 5 yang berdekatan Taman Botani dan Taman Belia Pulau Pinang merupakan antara denai yang boleh diakses. Jika melihat anak penyu laut di kawasan perlindungan penyu dan menerokai pantai yang menakjubkan termasuk dalam senarai aktiviti yang ingin anda lakukan, anda boleh menuju ke sebelah barat Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang. Pengunjung yang ingin mengakhiri pengembaraan berjalan kaki dengan pemandangan air terjun yang berbaloi dan menakjubkan akan menyukai denai Titi Kerawang di Balik Pulau. Di bahagian tanah besar, Taman Rekreasi Bukit Mertajam memberi pengembara bayu yang sejuk, pada ketinggian 450 meter di atas aras lauk, di puncak bukit. Kemudian, jelajah aliran sungai yang indah, kolam yang cetek dan air terjun di taman rekreasi ini yang juga membolehkan anda menyejukkan badan selepas seharian mengembara berjalan kaki. Anda boleh memilih untuk mengikut pemandu pengembara berjalan kaki atau berjalan sendiri. Jangan lupa untuk membawa banyak makanan dan air kerana sesetengah kawasan pengembaraan berjalan kaki mempunyai sedikit atau tidak mempunyai kemudahan.
Sama ada anda memilih untuk bermula di tengah-tengah kehijauan yang subur atau di pinggir lembah, terdapat banyak padang golf luar biasa yang direka mengikut piawai antarabangsa. Pulau Pinang sememangnya merupakan destinasi ideal yang menggabungkan percutian yang menggamit kenangan dengan permainan golf yang membangkitkan semangat. Antara padang golf yang popular di negeri ini ialah:
Pulau Pinang mempunyai permata tersembunyi, landskap dan bandar paling indah yang sedia untuk anda terokai dengan berbasikal. Berbasikal ialah cara yang santai untuk meneroka bangunan warisan dan seni jalanan George Town yang terkenal, serta menikmati pemandangan kampung, ladang dan perkampungan nelayan Pulau Pinang. Pengunjung berani yang ingin meluangkan sedikit masa jauh dari tumpuan pelancongan boleh memilih untuk berbasikal ke Straits Quay atau Queensbay di lorong berbasikal di tepi pantai yang indah. Jika anda menyukai cabaran, laluan berbasikal di tanah besar mesti diletakkan dalam senarai aktiviti yang perlu anda lakukan. Berbasikal sepanjang Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR), melalui kawasan kontena besar dan kren kontena gergasi sebelum menghala ke Bukit Katak. Untuk tiba di puncak bukit, anda perlu melalui rupa bumi yang berlekuk dan berkabut, namun pemandangan yang mengasyikkan di atas tapak perlombongan yang terabai ini menjadikan perjalanan anda berbaloi. Sewa basikal, sertai lawatan berbasikal, atau gunakan sistem perkongsian basikal seperti LinkBike – salah satu cara ini, dan anda akan bertemu dengan ramai penduduk tempatan dan melihat banyak landskap Pulau Pinang yang pelbagai sambil berbasikal dengan kelajuan santai.
Aktiviti memancing boleh dinikmati di sepanjang perairan Pulau Pinang. Laut yang mengelilingi Pulau Pinang yang dipenuhi kerapu, gerut, keli laut sirip hitam dan gelama merupakan salah satu tempat terbaik untuk melontar joran. Bagi anda yang menginginkan ikan yang lebih besar, bot dan lawatan carter membawa pelancong ke kawasan memancing kegemaran di sekitar pulau dan pulau jauh di perairan Seberang Perai.
Pulau Pinang merupakan habitat bagi 420 spesies burung, termasuk beberapa spesimen yang jarang ditemui. Kedua-dua pulau dan tanah besar Pulau Pinang dikenali dengan kepelbagaian jenis spesies burung, menjadikan lokasi ini syurga avian bagi pengkaji burung yang amatur dan berpengalaman. Antara habitat burung yang pelbagai termasuklah hutan tanah rendah, hutan paya bakau, lumpur pasang surut, kawasan tanah basah dan sawah padi. Burung yang biasa dilihat di seluruh Pulau Pinang termasuk pelbagai spesies helang, burung hantu, burung yang pandai menyanyi, burung randuk dan burung air yang merangkumi burung tempatan dan burung yang berhijrah.
Lokasi hebat di pulau dan tanah besar untuk memerhati burung adalah:
Pantai Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah dihiasi dengan hotel, resort dan tempat makan. Anda boleh memilih dengan mudah untuk membuat aktiviti layar layang atau menaiki perahu pisang kerana aktiviti rekreasi mudah didapati di sini. Ambil maklum bahawa pengunjung yang menggunakan kemudahan tepi pantai di Batu Ferringhi berbuat demikian atas risiko sendiri. Pengunjung yang suka berkayak dan menaiki perahu naga boleh menuju ke Pusat Kegiatan Sukan Air di Tanjung Bungah. Pusat ini diuruskan oleh kerajaan negeri dan menawarkan pelbagai sukan air, termasuk menaiki perahu naga dan berkayak.